Cara Pengambilan Ubat Gout Yang Betul ~ Jom Tambah Ilmu

GOUT OH GOUT

Seorang rakan saya bertanya tempoh hari

“An, apa ubat terbaik untuk gout?”

“Sejak bila kau ada gout?”

“Aku rasa macam gout, aku ikut cakap kawan office aku, dia memang ada gout dan makan ubat nama colchicne. Ok tak ubat ni?”

Dari situ bermulalah aku MEMBEBEL kepada rakan aku pasal GOUT dan rawatannya.

“Mana boleh ko pandai-pandai nak diagnose diri ko sendiri ada gout dan pandai-pandai ko nak tiru orang yang memang ada gout makan ubat colchicine ko pun nak makan” ujar aku
**************************

Wahai rakan-rakan dan para netizen sekalian, pertama anda perlu faham apakah itu Gout.

Gout merupakan penyakit radang sendi. Gout berlaku akibat asid urik berlebihan dalam tubuh yang menyebabkan pembentukan kristal di dalam sendi.

Situasi seperti ini menyebabkan pesakit merasa sangat sakit dan tidak selesa atau merasakan seperti terdapat pasir di dalam sendi ketika menggerakkan anggota badan. Jika dibiarkan berpanjangan, keadaan seperti ini boleh merosakkan sendi yang terlibat.
**************************

Kawanku bertanya lagi
“selalunya kawasan sendi mana yang akan rasa sakit sebab gout?”

Sendi yang terlibat adalah sendi kecil seperti di jari-jari tangan atau kaki, pada buku lali, lutut, perggelangan tangan dan siku.

Namun rakan-rakan netizen semua, anda perlu FAHAM bahawa penyakit gout bukan sejenis penyakit yang boleh dirawat sendiri tanpa nasihat daripada pengamal perubatan.

Pendekatan rawatan gout adalah untuk menghilangkan rasa sakit dan mengurangkan serangan gout.

Namun perlu diingat rawatan gout hanya boleh diberikan atas nasihat doktor apabila paras asid urik dalam darah adalah tinggi beserta simptom-simptom gout seperti bengkak pada sendi dan berasa sakit ketika menggerakan anggota badan.
**************************

Ketika serangan gout akut, doktor akan memberikan ubat untuk mengurangkan rasa sakit dan keradangan iaitu ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs), colchicine atau glukokortikoid (kortikosteroid). Ketiga-tiga jenis ubat ini bertindak menghalang proses semulajadi dalam tubuh badan yang menyebabkan bengkak dan simptom keradangan akibat gout.

Pesakit yang mengambil ubat NSAID dinasihatkan untuk mengambil ubat ini selepas atau bersama makanan bagi mengurangkan rasa perut tidak selesa akibat kesan samping ubat jenis ini. Namun begitu jika pesakit mengalami ulser perut, anda dinasihatkan agar tidak menggunakan ubat ini kecuali di bawah nasihat dan penjagaan doktor.

Pengambilan NSAID secara berterusan tanpa nasihat doktor adalah tidak digalakkan. Pengambilan ubat ini pada dos tinggi dan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakkan pada buah pinggang, hati dan permukaan dalam perut dan usus.

Selain daripada NSAID, doktor akan memberikan ubat Colchicine sebagai ubat alternatif kepada individu yang tidak boleh menggunakan ubat NSAID.

Kesan samping yang sering dikaitkan dengan penggunaan ubat ini ialah loya, muntah dan cirit birit. Sekiranya simptom ini berterusan dan menyebabkan ketidakselesaan, sila maklumkan kesan ini kepada doktor yang merawat.
**************************

**AWAS, PERKARA PENTING BERKAITAN UBAT COLCHICINE INI**

Sejak tahun 2000, pihak NPRA menerima 64 aduan kesan adverse ubat (ADR) berkaitan Colchinine. Kesan adverse ubat yang kerap dilaporkan adalah diarrhea (cirit-birit) 15.8%, gatal-gatal kulit 8.3%, ruam 7.5% dan pruritus 6.7%.

Daripada 64 kes yang dilaporkan 2 daripadanya melibatkan kematian. 2 orang pesakit ini ambil colchicine pada dos yang tinggi dan mengambilnya dalam jangka masa yang lama. Pesakit telah megalami keadaan cirit-birit yang berpanjangan dan komplikasi penyakit sedia. (Sumber MADRAC Bulletin 1/2017).

Ubat colchicine ini hanya digunakan untuk jangka masa yang singkat sahaja iaitu semasa serangan gout. Cara pengambilan Colchicine untuk rawatan serangan gout:

Permulaan 1-1.2mg colchicine diikuti dengan 0.5-0.6mg setiap 2-3jam berikutnya sehingga rasa sakit hilang atau mengalami kesan GI seperti cirit-birit, loya atau muntah.

Bila mengalami kesan GI maka ia adalah tanda untuk berhenti mengambil Colchicine. Colchicine hanya boleh diambil semula selepas sekurang-kurangnya 3 hari.

“Oooooo An…camtu yer cara makan colchicine. Aku seriously tidak tahu. Aku ikut jer cakap kawan aku makan 3 kali sehari. Patutlah kadang-kadang tu aku alami cirit-birit lepas makan ubat ini”

“Yer, sepatutnya bila sudah ada cirit-birit ko patut stop makan ubat itu dan hanya boleh ambil semula selepas 3hari….apa-apa pun ko tidak boleh ambil ubat ini tanpa nasihat atau rawatan doktor”.

Justeru amat penting bahawa rawatan serangan gout akut ini memerlukan nasihat doktor dan ahli farmasi dan bukan dirawat secara sendirian atau mendengar nasihat rakan atau penjual produk yang tidak bertauliah.
**************************

SETERUSNYA:
“An, bagaimana nak pastikan orang yang ada gout tidak dapat serangan?”

Bagi menghalang serangan gout daripada berulang, paras asid urik dalam darah perlu berada pada paras normal. Oleh itu ubat Allopurinol akan diberi kepada pesakit bertujuan untuk menghalang pembentukan asid urik berlebihan dalam darah.

Allopurinol hanya boleh dimulakan setelah simptom bengkak dan sakit sendi akibat serangan gout akut pulih. Pengambilan ubat Allopurinol perlu diambil secara berterusan mengikut arahan doktor walaupun paras asid urik dalam darah telah kembali ke paras normal.
**************************

Ujian makmal untuk memantau paras asid urik dalam darah perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun. Pemantauan ini bertujuan memastikan kandungan asid urik dalam darah berada pada paras yang normal. Walau bagaimanapun bacaan asid urik yang tinggi tanpa sebarang simptom gout tidak perlu menerima sebarang rawatan menggunakan ubat.
**************************

“Orang yang sakit gout ini, bukan sekadar perlu patuh makan ubat-ubatan yang diberikan doktor, malah kena lakukan sedikit pengubahasuaian cara hidup mereka” ujar aku.

Tips yang disarankan adalah mengurangkan berat badan, berhenti mengambil minuman beralkohol, mengurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purin (lihat jadual) mengawal penyakit seperti tekanan darah tinggi dan paras kolesterol dalam darah.
**************************

PERINGATAN
Perkara penting yang perlu diingat untuk mengelak daripada serangan gout dan komplikasinya :
1. Patuhi arahan pengambilan ubat yang diberi oleh doktor atau ahli farmasi.

2. ELAKKAN pengambilan ubat tanpa nasihat atau rujukan doktor terutamanya ubat tahan sakit dan ubat-ubat yang dijual di internet dan media sosial.

3. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengambil ubat yang lain kerana ubat rawatan gout mempunyai interaksi dengan sesetengah ubat lain.

4.Jangan mudah terpengaruh dengan produk yang dijual di media sosial yang menjanjikan seperti “sakit gout yang teruk boleh hilang sekelip mata” atau “rahsia merawat gout tanpa perlu berjumpa doktor”. Produk seperti ini sungguh mencurigakan dan ditakuti ia dicemar palsu dengan bahan terlarang atau racun berjadual terutama produk tersebut tidak didaftarkan dengan KKM.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1800 88 6722.

Saya share juga penulisan berkaitan Gout daripada member seperjuangan
Dr Mahyuddin Mohamed :
https://m.facebook.com/story.php…
Lara Marina :
https://m.facebook.com/story.php…

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *