Diclofenac

Tentang Ubat Diclofenac

Diclofenac ialah sejenis ubat anti-inflamasi yang bukan tergolong dalam kumpulan steroid (NSAID). Ubat ini bertindak dengan mengurangkan bahan dalam badan yang menyebabkan sakit dan inflamasi. Diclofenac membantu melegakan kesakitan dan keradangan.

Cara Pengambilan Ubat Diclofenac

Ubat Diclofenac perlu diambil bersama dengan makanan atau sebaik sahaja selesai makan. Jangan mengambil ubat ini semasa perut kosong. Ambil ubat Diclofenac seperti yang disarankan oleh doktor anda. Jangan mengambil dos yang berlebihan. Doktor anda mungkin juga mempreskripsikan tablet antasid untuk diambil bersama Diclofenac. Jika anda diberi antasid, kunyah dahulu sebelum menelan tablet antasid tersebut dan ambil tablet antasid itu pada masa yang sama dengan Diclofenac.

Jika anda diberi tablet yang mempunyai persediaan khas (kadang-kala dilabel sebagai “EC”, “SR”, “MR” atau “XL”), telan tablet itu secara sekaligus. Jangan mengunyah atau menghancurkan tablet yang mempunyai salutan khas tersebut. Jika anda diberi tablet jenis boleh larut, larutkannya dalam air dan kemudian minum air tersebut.

Jangan Ambil Ubat Ini Jika Anda :

Ubat Diclofenac tidak sesuai dan tidak boleh di ambil jika anda :

  • Sedang hamil atau sedang menyusui bayi
  • Mempunyai sejarah alahan (seperti bengkak mata atau mulut, sesak nafas, ruam) kepada ubat penahan sakit dalam kategori yang sama seperti aspirin, mefenamic acid, ibuprofen, indomethacin, ketoprofen, meloxicam, naproxen atau piroxicam
  • Sejarah mengalami masalah ulser atau pendarahan dalam perut
  • Mempunyai keradangan usus
  • Mempunyai asma/penyakit lelah
  • Mempunyai masalah pembekuan darah

Kesan Sampingan Ubat Diclofenac

Diclofenac mungkin akan menyebabkan anda mengalami ketidakselesaan perut.Contoh simptom yang bole terjadi akibat pengambilan ubat ini adalah seperti loya dan sakit perut. Untuk mengelakkan daripada mengalami simptom seperti berikut anda disarankan untuk mengambil Diclofenac dengan makanan dan antasid, jika diberi oleh doktor.

Jika anda mula mengalami bengkak mata atau mulut, ruam atau sesak nafas, anda mungkin mengalami alahan kepada Diclofenac. Jika keadaan ini berlaku, hentikan pengambilan ubat ini dan segera berjumpa dengan doktor.

Maklumkan kepada doktor anda jika terdapat mana-mana satu kesan sampingan yang berikut teruk atau tidak lega:

  • sakit perut
  • cirit-birit
  • keletihan yang luar biasa
  • pening kepala

Sesetengah kesan sampingan berkemungkinan menjadi serius dan memerlukan perhatian segera. Kesan sampingan ini biasanya berlaku dengan penggunaan ubat Diclofenac untuk jangkamasa yang lama tetapi ianya tidak berlaku jika anda hanya mengambil ubat ini sekala-sekala ataupun bila perlu. Maklumkan kepada doktor anda secepat yang mungkin jika anda mengalami kesan-kesan sampingan yang berikut:

  • sakit dada
  • sesak nafas
  • najis menjadi hitam dan melekit

Ubat-Ubatan Lain Yang Tidak Boleh Di Ambil Bersama Diclofenac :

Sebelum anda dibekalkan dengan ubat Diclofenac anda perlu memberitahu doktor anda jika anda mengambil ubat-ubatan lain seperti di bawah.

  • Ubat cair darah seperti seperti (aspirin, clopidogrel, warfarin, dipyridamole, heparin)
  • Ubat TB seperti rifampicin
  • Ubat jantung dan tekanan darah tinggi seperti furosemide (frusemide) dan ubat-ubat yang berkenaan
  • Ubat-ubat lain seperti ciclosporin, methotrexate, lithium

Sentiasa maklumkan doktor anda jika anda mengambil mana-mana ubat-ubatan lain, termasuk ubat tradisional/herba, makanan tambahan (suplemen) atau ubat-ubatan yang anda beli tanpa arahan daripada doktor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *