Pengambilan Ubat Semasa Menyusu Bayi, Perkongsian dari Facebook M3

“Nak menyusukan bayi, nak makan ubat….boleh ker?”

Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir kerana susu ibu merupakan diet terbaik untuk bayi yang memberi faedah nutrisi yang lengkap dan mampu meningkatkan sistem pertahanan tubuh badan daripada jangkitan kuman serta mengurangkan risiko alahan kepada bayi. Tempoh penyusuan ibu yang disarankan adalah 6 bulan penyusuan secara eksklusif, dan penyusuan diteruskan bersama dengan makanan pelengkap sehingga anak berusia 2 tahun.

Sepanjang tempoh tersebut adakalanya penggunaan ubat-ubatan mungkin tidak dapat dielakkan. Ada yang hanya diambil untuk tempoh yang singkat (contohnya jangkitan, batuk atau selsema) dan ada yang dalam tempoh lama (ibu yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, asma dan sawan). Ramai ibu yang menyusukan anak tidak pasti sama ada mereka boleh meneruskan penyusuan atau tidak jika mengambil sebarang ubat-ubatan mahupun pengambilan suplimen kesihatan. Maka adalah penting bagi para ibu yang menyusukan anak untuk mengetahui jenis ubat-ubatan & suplimen kesihatan yang sesuai diambil atau sebaliknya ketika dalam tempoh penyusuan.

Ibu-ibu yang menghidap penyakit kronik tidak boleh berhenti rawatan ubat secara mendadak. Rawatan perlu diteruskan walaupun ibu berhasrat untuk menyusu. Mereka dinasihatkan untuk berbincang terlebih dahulu dengan pakar kesihatan. Antara pilihan yang boleh dibuat ialah untuk menukar rawatan ubat kepada yang lebih sesuai semasa penyusuan, menggunakan dos ubat minimal yang effektif, menyusukan anak sebelum mengambil ubat supaya anak pendedahan kepada ubat adalah pada kepekatan yang lebih rendah. Pilihan ubat adalah atas nasihat doktor/ahli farmasi bergantung kepada keadaan kesihatan ibu.

Secara am, kebanyakkan ubat adalah selamat digunakan oleh ibu yang menyusu. Walau bagaimanapun, pemantauan perlu dilakukan untuk memastikan tiada kesan sampingan ubat berlaku kepada bayi yang menyusu. Ubat-ubatan memang diketahui boleh meresap ke dalam susu badan, tetapi majoriti ubat-ubat ini meresap ke dalam susu ibu adalah dalam kuantiti yang sangat sedikit, dan tidak signifikan. Bukan ubat-ubatan untuk rawatan sahaja boleh meresap masuk dalam susu ibu, ubat tradisional, herba dan suplimen kesihatan juga boleh.

Justeru, jika ubat-ubat yang diambil itu telah disahkan selamat untuk diambil, ibu-ibu tidak perlu terus menghentikan penyusuan. Ini kerana kita tahu bahawa, banyak kebaikan yang boleh didapati jika kita menyusukan bayi maka rugi sekiranya ibu terus menghentikan penyusuan semata-mata kerana mereka perlu mengambil ubat.

**Bagaimanakah untuk mengurangkan kesan ubat-ubatan, ubat tradisional mahupun herba kepada bayi?

Ubat-ubatan yang diambil oleh ibu perlulah berdasarkan nasihat dan perbincangan doktor atau ahli farmasi dan bukannya mengikut pendapat sendiri, termasuklah ubat tradisional, herba dan sebagainya. Sebagai panduan, kesan ubat-ubatan kepada bayi mungkin boleh dikurangkan dengan cara

a) Hanya mengambil ubat sekiranya diperlukan sahaja (bukan untuk rawatan kronik). Sebaik-baiknya dinasihatkan oleh doktor atau ahli farmasi setelah mengambil kira keadaaan ibu yang sedang menyusu. Ibu mesti memberitahu doktor atau ahli farmasi bahawa mereka sedang menyusu sebelum mengambil sebarang ubat. Elakkan membeli sendiri ubat di kedai terutamanya ubat-ubatan tradisional yang tidak diketahui kesannya kepada bayi

b) Sebaik-baiknya ubat diambil dengan dos yang rendah dan pada tempoh yang sesingkat mungkin (bagi bukan penyakit kronik) untuk minimumkan kesan sampingan pada bayi

c) Mengambil ubat sebaik sahaja selesai penyusuan anak dilakukan, supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila menyusukan anak untuk sesi seterusnya. Mesej penting di sini adalah susukan dahulu bayi kemudian barulah ambil ubat atau boleh juga perah susu dahulu sebelum mengambil ubat dan simpan susu tersebut untuk sesi penyusuan seterusnya.

d) Mengelakkan ubat yang perlu diambil hanya sekali atau 2 kali kerana ubat ini mempunyai tempoh tindak balas yang lama dan akan terkumpul dalam darah ibu dalam jangkasa masa yang panjang

e) Jika perlu mengambil ubat yang mempunyai dos sekali sehari, ibu digalakkan mengambil ubat sejurus sebelum bayi tidur pada jangka waktu yang lama contohnya pada waktu malam. Dengan ini risiko bayi untuk terdedah kepada masa penyerapan ubat yang maksimum ke dalam darah dadalah lebih rendah kerana bayi tidur dan tidak menyusu dalam tempoh tersebut.

f) Bagi terapi elektif misalnya kaedah diagnostic dan radiofarmaseutik boleh ditangguhkan penggunaannya sehingga bercerai susu, bincang dengan doktor yang merawat.

g) Bagi ubat-ubatan yang memerlukan ibu terpaksa memberhentikan penyusuan anak buat sementara waktu semasa menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan. Misalnya rawatan radioaktif , ibu diminta untuk memerah susu secara berkala dalam 3-4 jam sekali bagi memastikan pengeluaran susu sentiasa ada dan tidak kering. Kaedah “perah dan buang” boleh digunakan. Kaedah seperti memastikan agar proses penyusuan boleh dimulakan semula setelah selesai rawatan kerana bekalan susu tidak putus atau kering.

h) Namun susu tersebut perlu dibuang dan tidak boleh disimpan untuk bayi. Ketika ibu menerima rawatan tersebut, bayi boleh diberikan susu perahan yang telah dikumpul lebih awal ataupun mendapatkan ibu susuan ataupun alternatif lain bagi menggantikan susu ibu.

PERINGATAN:
Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, BINCANG DAHULU dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat untuk tujuan rawatan, ubat-ubatan OTC (over the counter), ubat tradisional, herba & suplimen kesihatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Mohd Dziehan Mustapa
Ahli Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Sumber : fb.com/MedicalMythbustersMalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *