Gabapentin

Mengapakah saya perlu mengambil ubat ini?

Gabapentin digunakan dengan sendiri atau bersama-sama dengan ubat-ubatan lain untuk merawat epilepsi (juga dikenali sebagai sawan atau fits).

Ia juga digunakan untuk melegakan kesakitan saraf pada pesakit diabetes atau kayap.

Gabapentin juga boleh digunakan untuk melegakan rasa panas di kalangan wanita dengan kanser payudara dan juga di kalangan wanita yang telah habis fasa menopaus.

Bagaimanakah cara saya mengambil ubat ini?

Ambil Gabapentin seperti yang diarahkan oleh doktor anda atau ikut arahan pada label ubat. Jangan mengambil dos yang lebih atau kurang daripada yang diarahkan oleh doktor anda.

Anda boleh mengambil Gabapentin dengan atau tanpa makanan. Cuba ambil ubat ini pada masa yang sama setiap hari. Jika anda mengambil Gabapentin buat pertama kali, ambil dos pertama sebelum tidur untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan seperti mengantuk dan pening kepala. Selepas itu, ambil pada selang masa seperti yang diarahkan oleh doktor anda.

Gabapentin boleh didapati dalam kekuatan dos ubat yang berbeza. Pastikan anda tahu kekuatan dos ubat yang biasa diberikan kepada anda.

Gabapentin perlu diambil secara berkala supaya ia berkesan. Teruskan mengambil ubat ini walaupun keadaan anda bertambah baik. Jangan berhenti mengambil Gabapentin kecuali diberitahu sebaliknya, kerana pemberhentian pengambilan ubat ini secara tiba-tiba mungkin menerukkan lagi keadaan anda. Doktor akan mengurangkan dos ubat anda secara beransur-ansur sebelum anda berhenti mengambilnya atau sebelum beliau menukar ubat anda kepada ubat yang lain.

Apakah yang perlu saya lakukan apabila terlupa mengambil ubat ini?

Ambil dos yang tertinggal/terlupa sebaik sahaja anda ingat. Jika ia hampir kepada masa untuk dos seterusnya, abaikan dos yang tertinggal/terlupa itu dan ikut semula jadual pendosan anda seperti biasa.

JANGAN menggandakan dos dalam apa jua keadaan sekalipun.

Jika anda sering lupa untuk mengambil ubat, beritahu doktor dan ahli farmasi anda.

Apakah yang perlu saya beri perhatian semasa mengambil ubat ini?

Beritahu doktor jika anda mempunyai keadaan-keadaan berikut:

– penyakit buah pinggang atau sedang menjalani hemodialisis
– sejarah gangguan mental

Beritahu doktor jika anda hamil atau menyusukan bayi.

Jika anda akan menjalani pembedahan, termasuk pembedahan kecil atau berkenaan pergigian, beritahu doktor atau doktor gigi yang anda sedang mengambil Gabapentin.

Gabapentin bukanlah sejenis ubat penahan sakit. Jangan mengambil Gabapentin untuk sebarang tujuan lain selain daripada apa yang dinasihatkan oleh doktor anda.

Apakah kesan sampingan daripada pengambilan ubat ini?

Gabapentin boleh menyebabkan anda pening, mengantuk atau letih. Jika terjejas, jangan memandu atau mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti yang memerlukan anda supaya berjaga-jaga. Gabapentin juga boleh menyebabkan masalah imbangan atau koordinasi. Selagi anda tidak tahu sama ada Gabapentin akan menyebabkan masalah imbangan atau koordinasi pada anda, selagi itulah tidak selamat untuk anda memandu atau mengendalikan jentera.

Kesan-kesan sampingan yang lain termasuk mana-mana yang berikut: loya, muntah-muntah, cirit-birit, mulut kering, rasa tidak selesa perut, perubahan berat badan, bengkak kaki, sakit otot atau belakang, pergerakan mata yang bukan secara sukarela, penglihatan berganda dan kabur. Kesan-kesan sampingan ini adalah biasa terutamanya apabila anda baru sahaja mula mengambil Gabapentin.

Beberapa kesan sampingan boleh menjadi serius, walaupun jarang berlaku. Beritahu doktor dengan segera jika anda mengalami keadaan-keadaan berikut:

– ruam atau demam
– ruam dengan kulit yang mengelupas atau bibir, mulut atau mata yang melepuh, disertai dengan demam
– bengkak pada mata, muka atau bibir atau susah bernafas
– kekeliruan atau halusinasi (melihat, mendengar atau mempunyai perasaan akan perkara yang tidak wujud)
– perubahan luar biasa pada mood atau kelakuan (terlalu tertekan atau gelisah)
– ulser mulut atau demam berterusan atau sakit tekak

Beritahu doktor jika mana-mana kesan sampingan tidak sembuh atau bertambah teruk atau jika anda mengalami kesan sampingan yang lain.

Bolehkah saya mengambil ubat ini bersama ubat-ubatan yang lain?

Jangan ambil Gabapentin pada masa yang sama dengan antasid. Antasid akan mengurangkan keberkesanan Gabapentin. Jika anda perlu mengambil antasid, ambillah ia 2 jam sebelum anda mengambil Gabapentin.

Beritahu doktor dan ahli farmasi jika anda mengambil mana-mana ubat-ubatan berikut:

– morphine (ubat penahan sakit yang kuat)
– cimetidine (ubat gastrik)

Senarai ini tidak termasuk ubat-ubatan lain yang boleh berinteraksi dengan Gabapentin.

Sentiasa beritahu doktor dan ahli farmasi jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan lain, termasuk tonik herba seperti ubat-ubatan tradisional Cina, makanan tambahan/suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional yang anda beli tanpa preskripsi/surat ubat.

Adakah terdapat sebarang sekatan terhadap jenis makanan yang saya boleh makan?

Elakkan daripada mengambil alkohol.

Bagaimanakah cara saya menyimpan ubat ini?

Simpan di tempat yang sejuk, kering dan jauh daripada jangkauan kanak-kanak.

Ubat-ubatan tidak boleh digunakan selepas ia melepasi tarikh luput.

Karena

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Hydrochlorothiazide

Fri Sep 11 , 2015
Hydrochlorothiazide ialah ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Ia juga digunakan untuk merawat keadaan pengumpulan tidak normal bagi air di dalam ruang-antara dalam badan (edema) yang disebabkan oleh penyakit kegagalan jantung, hati atau buah pinggang. Pengumpulan air dalam badan boleh menyebabkan bengkak pada kaki, pergelangan kaki, bahagian kaki yang […]

You May Like