Ginkgo Biloba Untuk Apa? Kenali Khasiat Ginkgo Biloba & Jenama Terbaik Di Malaysia

  • by

Apa itu Ginkgo Biloba? Apa khasiat ginkgo? – Jom kenali dengan lebih detail lagi tentang kebaikan produk yang mengandungi ginkgo biloba.

Apa itu Ginkgo Biloba?

Ginkgo Biloba adalah sejenis tumbuhan yang didapati daripada pokok Ginkgo. Walaupun diancam kepupusan pada zaman ais, pokok Ginkgo bertahan dan masih ada di negara China. Ia dipercayai merupakan salah satu spesis pokok yang hidup paling tua di dunia.

Pokok Ginkgo adalah sejenis pokok yang bersaiz besar. Pada kebiasaannya pokok ini boleh mencapai ketinggian 20-35 meter dan ada juga yang mencecah sehingga ketinggian 50 meter di negara China. Pokok Ginkgo tahan kepada angin yang kuat, salji dan juga tahan daripada penyakit menyebabkan ia boleh hidup lama. Daun Ginkgo agak unik kerana ia berbentuk berbentuk seperti kipas dengan urat yang terpancar keluar ke bilah daunnya.

Kegunaan Serta Khasiat Ginkgo Biloba.

Selama beribu-ribu tahun, daun daripada pokok Ginkgo Biloba telah menjadi rawatan biasa dalam perubatan tradisional Cina. Suplemen Ginkgo kebanyakan berasal daripada daun. Namun perlu berhati-hati kerana biji Ginkgo berbahaya jika diambil secara mentah.

Para saintis telah menemui lebih daripada 40 unsur kimia utama dalam Ginkgo. Hanya dua unsur kimia yang dipercayai bertindak sebagai ubat iaitu flavonoid dan terpenoid. Flavonoid adalah antioksidan berasaskan tumbuhan. Kajian makmal dan kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa flavonoid melindungi saraf, otot jantung, saluran darah dan retina daripada kerosakan. Terpenoid pula memperbaiki aliran darah dengan mengembangkan saluran darah dan mengurangkan kelekitan platlet.

Oleh itu ramai yang mengambil produk Ginkgo percaya bahawa ia ginkgo boleh meningkatkan daya ingatan, menajamkan pemikiran dan juga mengatasi masalah peredaran darah. Persoalannya kini, adakah kepercayaan ini disokong oleh fakta saintifik dan klinikal?

Ginkgo Biloba Bagus Untuk Daya Ingatan

Ginkgo juga dikenali sebagai “herba otak”. Ginkgo meningkatkan aliran darah ke otak dan bertindak sebagai antioksida. Terdapat beberapa kajian yang mendapati bahawa Ginkgo membantu meningkatkan ingatan dan pemikiran dalam kalangan orang muda dan pertengahan umur yang sihat.

Walau bagaimanapun kesan ginkgo dalam membantu ingatan dalam kalangan individu sihat dan mempunyai masalah memori yang berkaitan dengan faktor usia tidak begitu jelas di mana terdapat kajian yang mendapati sedikit manfaat, manakala kajian lain mendapati tiada kesan.

Perkara ini juga dapat dilihat dalam beberapa kajian yang menunjukkan Ginkgo boleh membantu mencegah perkembangan gejala demensia (nyanyuk), terutamanya jika demensia tersebut dianggap sebagai hasil daripada penyakit salur darah. Didapati Ginkgo memberi kesan positif kepada ingatan dan pemikiran serta memudahkan pengidap alzheimer atau demensia melakukan tugas seharian. Namun pada tahun 2008, terdapat sebuah kajian yang melibatkan 3000 orang warga tua mendapati tiada perbezaan antara warga tua yang mengambil Ginkgo dan placebo untuk mencegah demensia atau Alzheimer.

Selain daripada itu, Ginkgo biloba sering ditambah ke dalam makanan, minuman ringan, dan air buah-buahan untuk meningkatkan daya ingatan dan meningkatkan prestasi mental. Namun jumlah Ginkgo yang ditambah itu adalah dalam kuantiti yang kecil dan mungkin tidak membantu dalam memberikan kesan.

Kebaikan Ginkgo Untuk Membaiki Peredaran darah

Oleh kerana dipercayai Ginkgo boleh memperbaiki aliran darah, kajian telah dilakukan kepada pesakit yang mempunyai masalah kurang aliran darah ke kaki. Mereka yang mempunyai masalah ini menghadapi kesukaran untuk berjalan dan berasa sakit ketika berjalan. Analisa daripada 8 kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil produk yang mengandungi Ginkgo cenderung untuk berjalan kira-kira 34 meter lebih jauh daripada mereka yang mengambil placebo. Walau bagaimanapun, senaman dan latihan berjalan menunjukkan keputusan yang lebih baik daripada Ginkgo dalam meningkatkan jarak berjalan kaki.

Degenerasi makula

Flavonoid yang ada dalam ginkgo juga dipercayai boleh membantu memberhentikan atau mengurangkan beberapa masalah berkaitan retina, iaitu bahagian belakang mata. Degenerasi makula yang berkaitan dengan faktor usia adalah penyakit mata yang memberi kesan kepada retina dan boleh menyebabkan buta. Terdapat beberapa kajian yang mencadangkan bahawa Ginkgo boleh membantu mengekalkan penglihatan bagi mereka yang mempunyai masalah degenerasi makula ini. Melihat kepada hasil beberapa kajian, kegunaan Ginkgo memberi harapan baru bagi individu yang mempunyai masalah degenerasi makula untuk mengatasi masalah penglihatan mereka. Walau bagaimanapun lebih banyak kajian klinikal yang berskala besar dan lebih mendalam perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihan kesan Ginkgo ini.

Apakah Kesan Sampingan Ginkgo

Secara umumnya, makanan tambahan daripada daun ginkgo adalah selamat. Namun kesan kepada sesetengah individu, Ginkgo boleh menyebabkan sakit kepala, pening, jantung berdebar-debar, loya, perut kembung, dan cirit-birit. Manakala kesan alahan Ginkgo pula boleh mencetuskan ruam atau kesan anafilaksis yang serius.

Selain daripada itu, kesan sampingan Ginkgo terhadap sesetengah individu boleh menyebabkan berlakunya peningkatan atau penurunan tekanan darah atau mengubah paras gula dalam darah. Justeru, pengguna yang mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau diabetes harus berhati-hati jika mengambil produk Ginkgo ini atau sebarang produk herba, ubat dan makanan tambahan yang boleh mengubah tekanan darah atau paras gula dalam darah.

Nasihat penting sebelum menggunakan Ginkgo biloba

Risiko: Jika pengguna atau pesakit mempunyai masalah gangguan pendarahan, atau sedang merancang untuk menjalani pembedahan, pesakit perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakan produk Ginkgo. Pengambilan supplemen Ginkgo perlu diberhentikan 1 hingga 2 minggu sebelum melakukan pembedahan atau prosedur berkaitan gigi kerana berisiko untuk berlaku pendarahan tanpa henti.

Ginkgo Biloba Tidak Boleh Untuk Kanak-kanak

Biji ginkgo biloba yang mentah pula boleh menyebabkan sawan atau kematian. Oleh itu pengguna dinasihatkan agar tidak mengambil bahagian-bahagian lain Ginkgo secara mentah selain daripada daunya. Selain daripada itu pengguna juga dinasihatkan agar tidak mengambil Ginkgo jika mempunyai sebarang masalah kesihatan seperti diabetes, sawan atau epilepsi dan masalah kesuburan kecuali atas nasihat doktor yang merawat. Ginkgo biloba tidak disyorkan untuk kanak-kanak, wanita mengandung atau yang menyusukan bayi.

Interaksi: Jika pesakit diarahkan untuk mengambil ubat-ubatan secara berterusan untuk penyakit kronik, pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil produk yang mengandungi Ginkgo. Ginkgo boleh meningkatkan risiko pendarahan terutama jika pesakit ada mengambil bersama-sama ubat cair darah seperti warfarin, clopidogrel dan asid acetylsalicylic .

Tindak Balas Ginkgo Dengan Ubat

Selain daripada itu, Ginkgo juga boleh berinteraksi dengan ubat sawan (antiepileptik). Dos Ginkgo yang tinggi boleh mengganggu keberkesanan ubat antiepileptik seperti carbamazepine dan asid valproic. Ginkgo juga berinteraksi dengan ubat penahan sakit daripada kumpulan Ubat Antiradang Bukan Steroid (NSAIDs), ubat anti-platelet, ubat anti-kemurungan, ubat diabetes, ubat-ubatan yang diproses melaui hati dan makanan tambahan seperti bawang putih, saw palmetto, St. Johns Wort, dan Yohimbe.

Justeru, pengguna perlu berbincang dan mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil produk berasaskan Ginkgo kerana dikhuatiri berlakunya interaksi dengan ubat-ubatan yang sedang diambil. Interaksi tersebut boleh menjadikan kesan ubat lebih aktif atau kurang aktif dan seterusnya boleh memudaratkan pengguna.

Produk Berdaftar : Perkara penting bagi pengguna adalah untuk memastikan produk Ginkgo yang sedang atau ingin digunakan adalah produk yang berdaftar dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan mempunyai nombor perdaftaran yang sah serta pelekat hologram Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang awam boleh melakukan semakan nombor pendaftaran produk di laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (http://www.bpfk.gov.my) atau menggunakan applikasi telefon pintar android; “MediQuest”.

Beberapa Contoh Produk ginkgo biloba yang berdaftar di Malaysia :

1.21st Century Ginkgo Biloba

2. Hovid Ginkgo Biloba Extract 40 mg

3. THOMSON ACTIVATED GINKGO EXTRACT 40MG

4.Tanakan Ginkgo Biloba 40mg Extract 90S

Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna atau pesakit boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722
Disediakan oleh
Zanariah Abu Bakar, Pegawai Farmasi Hospital Sultanah Aminah Johor

Sumber : KKM