Kapsul Urat Saraf Herba Kampung Bahaya?

  • by

Adakah kapsul urat saraf bahaya? Herba produk Industri Kampung, Malaysia? Berikut merupakan pendedahan dari Kementerian Kesihatan Brunei yang turut mendedahkan 4 produk lain yang produk kesihatan dicemari bahan terlarang.

Kapsul urat saraf produk Industri Kampung, Malaysia dikesan dicemari dengan ubat terkawal (Poison) Dexamethasone & Diclofenac.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 Januari. – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan lima produk kesihatan yang didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan hasil dari ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan .

Produk berkenaan adalah Ginseng Kianpi Pil yang dicemari dengan Dexamethasone & Cyproheptadine; Urat Saraf Kapsul produk Industri Kampung, Malaysia yang dicemari dengan Dexamethasone & Diclofenac; Montalin Jamu Pegal Linu dan Asam Urat Kapsul, pengilang dari PJ.Air Madu, Indonesia yang mengandungi Cyproheptadine; Jamu Caissar Raja Obat Kuat Kapsul, pengilang dari PJ.Sinar Bulan, Indonesia didapati mengandungi Sildenafil, dan Hammer of Thor 850mg Capsule, pengilang dari Italy juga mengandungi bahan yang dicemari iaitu Sildenafil.

Bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil. Pengguna-pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah yang rendah, tekanan darah yang rendah dan dehidrasi.

Cyproheptadine pula digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ianya mempunyai beberapa kesan advers termasuk merasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut kering, kemurungan, denyutan jantung tidak menentu, meningkatnya selera makan dan berat badan.

Diclofenac adalah sejenis ubat penahan sakit yang apabila dimakan tanpa pengawasan boleh menyebabkan ulser peptik, pendarahan usus, loya, muntah-muntah, kabur penglihatan, edema, penyakit kuning, kegagalan organ buah pinggang.

 

Sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak BND8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak BND16,000 dan dua belas (12) bulan penjara.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Pelesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon +673 2393298 sambungan 208; e-mel kepada ‘[email protected]’ atau berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong ‘A’; atau hubungi Talian Darussalam 123.

Sumber : Pelita Brunei